Sunday, March 29, 2009

Kampung Puralai Ranau

pemandangan dari atas bukit Kg,Puralai

Kampung Puralai
merupakan sebuah perkampungan yang terletak jauh di pedalaman Daerah Ranau.Kemungkinan tiada seorang pun daripada anda di luar sana yang tahu di mana letaknya kampung ini.Selepas melalui perjalanan dari Pekan Ranau hingga ke kampung Kaingaran sejauh kira-kira 97 kilometer,akan kelihatanlah muara pertemuan dua batang sungai yang besar dari jalan raya.Itulah dia sungai Sugut dan sungai Kaingaran.
Sungai yang mendatar ke selatan adalah sungai Sugut yang muaranya hingga ke Lingkabau dan Beluran.Manakala sungai yang satu lagi itulah sungai Kaingaran yang asal hulunya dari Kalangkang,Mimpau dan Kawiyan.Bukit-bukau yang menghijau amat sesuai bagi mereka yang inginkan ketenangan.Ada dua cara perjalanan ke kampung Puralai iaitu samada jalan kaki ikut bukit yang dikenali sebagai Demis atau naik perahu bot menyusur sungai ke hulu.Ini bergantung kepada pilihan para penduduk setempat untuk pergi ke sana.Kadang-kadang perjalanan juga dipengaruhi oleh keadaan cuaca.
Suatu masa dulu ketika penulis masih menuntut di SMK Ulu Sugut yang letaknya di Kampung Kaingaran,penulis akan memilih jalan sungai untuk pulang ke rumah pada setiap hujung minggu.Penulis menggunakan perahu kecil yang datuk penulis sediakan khas untuk pengangkutan penulis ke sekolah.Amat menyeronokkan lagi apabila ada rakan-rakan penulis yang turut berperahu ke sekolah mencabar penulis untuk belumba perahu hingga ke sekolah.
Kampung pertama yang akan dilalui untuk pergi ke kampung Puralai ialah kampung Kotog,kampung Pupuan dan kampung Patau.Sebelum sampai ke persimpangan muara kampung Patau kita terpaksa melalui sebuah jeram air yang sangat deras yang dikenali sebagai Wasai.Di sinilah penulis suatu waktu dulu pernah kekaraman perahu akibat dayung perahu yang penulis guna telah patah dua.Sebaik sahaja melepasi jeram ini akan ada lubuk sungai yang tenang.Batu-batu besar yang dikenali sebagai Pampang Tanaru seolah-olah menghalang laluan perahu rupanya adalah muara sungai Tapatau yang hulunya dari kampungPatau.Pampang Tanaru kelihatan sebesar gerabak keretapi itu mempunyai cerita mitos yang tersendiri mengikut kepercayaan penduduk dusun sekitarnya.Kononnya batu yang besar lagi panjang itu adalah reban ayam milik seorang dewa KadazanDusun suatu waktu dulu yang dikenali sebagai Kudingking.Reban tersebut yang berisi beberapa ekor ayam telah ditinggalkan di situ sebelum keberangkatan Kudinking ke Kayangan pada hari terakhir dewa itu di bumi.Reban itu kemudian menjadi batu dengan serta merta kerana kesaktian yang ditinggalkannya.Kedengarannya lucu tetapi itulah cerita yang penulis dengar daripada orang tua-tua di situ.Kira keras juga batu ini di kawasaan sungai ini.Pernah suatu waktu dulu penulis lemas di tempat ini akibat kaki penulis tersepit di celah-celah batu di dasar sungai yang dalamnya kira-kira 7 meter itu semasa penulis masih lagi aktif memanah ikan dan udang yang banyak di muara sungai ini.
Di kawasaan ini kita akan dapat melihat sebuah perkampungan yang agak sunyi dan aman damai.Kelihatan beberapa pohon kelapa tumbuh di tebing sungai di pinggir kamung itu.Itulah dia kampung Puralai yang juga di kenali sebagai kampung Giring,iaitu tempat lahir penulis sendiri.Jumlah penduduk di kampung ini kini mencapai seramai 300 orang.Pola petempatan perumahannya pula adalah berselerak dan berjajar akibat faktor bentuk muka bumi yang berbukit-bukau.Majoriti penduduk di kampung ini adalah berbangsa Dusun Talantang dan menganut agama Kristian.Terdapat juga sebilangan kecil penduduknya yang masih lagi berpegang kepada kepercayaan nenek moyang iaitu Pagan.Penduduk Kampung Puralai seperti kampung sekitarnya juga menjalankan kegiatan berhuma,menanam padi setiap selang satu tahun.Sementara itu sumber pendapatan mereka untuk memperolehi wang ialah dengan menoreh getah yang diusahakan secara kecil-kecilan.Kampung ini tidak mempunyai sekolah mahupun klinik walaupun ia amat-amat diperlukan oleh penduduk di kampung ini.Kanak-kanak sekolah yang layak untuk bersekolah di sekolah rendah akan berjalan kaki untuk ke sekolah setiap hari persekolahan ke Sk,Kawiyan Ranau yang letaknya sejauh 6 kilometer menyusur sungai dari kampung ini.Apabila mereka hendak menyambung persekolahan ke tingkatan 1,mereka akan di sekolahkan di SMK Ulu Sugut yang letaknya di Kampung Kaingaran.Para penduduk yang sakit juga akan pergi ke kampung ini untuk meminta rawatan atau ubat di Hospital Kaingaran.
Ketika penulis pulang untuk bercuti di kampung penulis ini beberapa minggu yang lepas penulis merasa sunyi dan boring kerana kebanyakn daripada kawan-kawan penulis telah pergi mencari pekerjaan di Singapura dan Semananjung.- Adika.-